Thursday, February 23, 2012

JIKA ISU INI TAK SELESAI, JANGAN HARAP PRU-13 BOLEH DIADAKAN...

Utusan Malaysia
Oleh Zaini Hassan
22/2/2012


ISU ini amat sensitif. Ia lebih sensitif daripada isu ladang lembu dan lain-lain. Jika isu ini tidak selesai, jangan diharap pilihan raya boleh diadakan.

Ia membabitkan isu gaji kira-kira 1.3 juta kakitangan awam, yang kesemuanya, termasuk keluarga mereka layak mengundi. Ingat lagi kisah ‘penyapu’ di Selangor? Negeri itu jatuh antara sebabnya kerana penjawat-penjawat awam termasuk DO, ADO sehinggalah ke peringkat peon, begitu marah kerana dihina.

Jangan cari pasal dengan golongan ini. Mereka ialah kumpulan pelaksana dan tulang belakang kepada dasar-dasar kerajaan. Jika mereka marah mereka boleh bertukar warna menjadi Mr. Blue atau Mr. Green seperti dalam watak filem Incredible Hulk. Dan itu amat bahaya.

Dalam hal ini Perdana Menteri sememangnya cukup sedar. Satu tindakan cepat sedang diambilnya. Memang PM sendiri tahu jika isu ini tidak selesai maka Pilihan Raya Umum Ke-13 ini tidak boleh dilaksanakan. Maka itu, YAB PM telah mengarahkan sebuah jawatankuasa petugas khas (task force) semakan semula gaji duduk berbincang dengan Cuepacs mengenai hal ini, setelah Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman sendiri mengamuk.

Setakat ini sudah tiga kali task force ini berbincang. Hari ini sekali lagi rundingan akan dilangsungkan. Kali ini ia akan membabitkan cadangan lima perkara daripada Cuepacs sendiri. Omar akan mengetuai perbincangan itu bagi pihak kesatuan tersebut dengan wakil-wakil dari JPA, Pejabat Peguam Negara, Perbendaharaan dan agensi-agensi lain.

‘‘Kita mahu rundingan ini diselesaikan sebelum 30 Mac ini,” kata Omar kepada saya semalam.

Omar seperti biasa cukup bertenaga. Cakapnya juga cukup tegas. Dalam rundingan itu, beliau diberi tanggungjawab dan kepercayaan oleh kumpulan 54 (pengurusan dan profesional) ke bawah untuk membawa suara dan nasib mereka ke atas.

Kumpulan-kumpulan itu termasuklah: Jawatankuasa khas Gred 54 ke bawah PTD dan Pegawai Tadbir; Persatuan Pensyarah Universiti Profesor Madya Ke Bawah; Persatuan Jurutera Kebangsaan; Kumpulan Doktor-doktor Pakar Gred 54; Kumpulan Anggota Keselamatan Polis; Kumpulan Gred 54 Teknikal selain gabungan Cuepacs sendiri terdiri daripada Kumpulan Pelaksana 1 dan 2.

Hari ini saya mahu menyiarkan sepucuk surat yang dihantar kepada saya oleh seorang penjawat awam. Bunyinya agak keras. Tapi ditulis secara profesional, bernas, ada logik mengenai gaji baru mereka di bawah skim baru SBPA (Skim Baru Perkhidmatan Awam).

Begini bunyi surat itu. Semoga ia menjadi iktibar kepada kita semua.

Struktur perkhidmatan di bawah SBPA terbahagi kepada empat:

* Kumpulan Premier (Strategic and key positions (Turus): KSN, KSU)

* Kumpulan Pengurusan Tertinggi (Jawatan Utama dan Gred Khas: JUSA C, B dan A)

* Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Pegawai Gred 41 hingga Gred 54)

* Kumpulan Pelaksana (Pegawai dengan kelayakan masuk PMR hingga Diploma)

Kumpulan pegawai yang mendapat kenaikan gaji paling banyak ialah kumpulan Premier dan JUSA. Difahamkan semua KSU diberikan opsyen bersara dan seterusnya berkhidmat secara kontrak. Persaraan pula dikira sehingga umur 60 tahun. Ini bermakna semua KSU akan mendapat pencen dan gaji selain daripada faedah persaraan lain seperti gratuiti. Pencen sahaja, mengikut jadual gaji SBPA untuk kumpulan ini akan menjangkau puluhan ribu ringgit. Apakah rasionalnya keputusan ini memandangkan kebanyakan KSU telah pun berada di akhir tempoh perkhidmatan? Gaji kumpulan Premier ini difahamkan sama besar atau lebih besar daripada CEO di GLC atau di perbadanan-perbadanan swasta.

Isu penting SBPA ialah ketidakadilan yang amat ketara dari segi kenaikan gaji. Contohnya kumpulan JUSA C sahaja mendapat kenaikan gaji melebihi RM5,000 dengan peratus kenaikan di antara 57 peratus dan 81 peratus! Sementara kumpulan pelaksana N22 hanya mendapat kenaikan gaji di antara RM100 dan RM200 (ada yang lebih rendah) dengan peratus kenaikan di antara 3.7 peratus dan 7.5 peratus sahaja.

Difahamkan di bawah skim baru ini, Premier 1 akan menerima gaji sebanyak RM60,000 sebulan tanpa elaun; Premier 2 RM40,000 tanpa elaun dan Premier 3 RM40,000 tanpa elaun dan Premier 4 RM35,000 tanpa elaun. Tunggakan pampasan adalah antara RM800,000 dan RM1 juta.

Secara logiknya peratus kenaikan di antara kumpulan tidak boleh terlalu berbeza kerana ia akan meningkatkan jurang perbezaan pendapatan serta mengundang rasa tidak puas hati penjawat awam yang 80 peratus terdiri daripada kumpulan pelaksana.

Ketidakpuasan hati kumpulan pelaksana ini, ditambah dengan keluarga masing-masing, mampu menumbangkan kerajaan.

Sebagai rumusan SBPA telah menidakkan semua usaha kerajaan untuk menonjolkan kerajaan sedia ada sebagai a caring government. SBPA dibuat secara tergesa-gesa, tidak telus dan merupakan the biggest blunder Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam sejarah Malaysia.

Pihak JPA tidak perlu lagi memberi taklimat di sana sini mengenai SBPA tetapi mengakui bahawa SBPA sebenarnya tidak adil, tidak telus dan JPA perlu mengambil langkah positif untuk memperbaikinya.

Adalah menjadi satu tindakan yang bodoh, sia-sia dan akan menjadi bahan ketawa umum dan dunia untuk masih lagi mempertahankan bahawa SBPA merupakan satu sistem saraan yang baik dan mampu membawa negara kepada negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Kerajaan juga perlu mengambil tindakan tegas kepada mereka yang bertanggungjawab (merangka dan meluluskan tangga gaji itu) bagi menunjukkan kerajaan bertegas serta prihatin kepada kesejahteraan semua kumpulan penjawat awam dan rakyat.

Dengan kepincangan SBPA yang tidak masuk akal dan tidak terfikir oleh kebanyakan penjawat awam ini patutkah Kumpulan Premier, di antaranya terlibat secara langsung dalam penggubalan SBPA, dibayar pencen beserta gaji yang sebegitu tinggi?

Sekiranya dikatakan bahawa SBPA disediakan oleh pihak konsultan, maka apakah peranan kumpulan JUSA dan Premier yang merupakan pemegang strategic dan key positions dalam perkhidmatan awam?

Begitu bunyi surat itu. Benar juga apa yang dijelaskan itu. Ia umpama langit dengan bumi atau antara atap rumbia dan atap genting. Ia juga umpama strata rakyat di India, yang terlalu daif dan yang terlalu kaya.

Yang mendapat imbuhan maha-besar itu hanyalah kira-kira 4,000 kakitangan berbanding 1.3 juta lain yang sedang marah. Dan difahamkan peruntukan untuk membayar kos kepada 4,000 itu merupakan 2/3 daripada keseluruhan peruntukan untuk kesemua kakitangan kerajaan.

Kita berharap rundingan itu akan mencapai satu kata-putus yang menang-menang. Jika tidak, menurut Omar: ‘‘Ia akan menjadi satu isu yang amat kritikal. Dalam road show kami, kakitangan telah memberi kata dua…''

Kita berharap kata dua itu tidak seperti kata-kata Dr. David Banner sebelum dia bertukar warna menjadi Incredible Hulk: ‘‘...don‘t make me angry. You wouldn‘t like me when I’m angry. (Jangan buat saya marah. Saya tidak akan sukakan saya jika saya marah.)

Saya berharap satu formula yang lebih bertamadun dapat dirangka demi kesejahteraan semua pihak, terutamanya kepada kerajaan semasa.

Ingatlah YAB PM telah bekerja amat keras, janganlah kerana skim yang tidak masuk akal ini akan menyebabkan apa yang beliau usahakan rosak sebelanga.

Cuepacs Tuntut Kenaikan Gaji RM700-RM2500

PUTRAJAYA: Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji antara RM700 hingga RM2,500 untuk Gred 1 hingga Gred 54.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata kenaikan itu perlu dilaksanakan terlebih dahulu menerusi skim sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum sebarang pembaharuan dibuat menerusi Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Beliau berkata tuntutan yang dikemukakan ialah untuk Gred 1 hingga 16 kenaikan sebanyak RM700, Gred 17 hingga Gred 26 (RM1,000), Gred 27 hingga Gred 40 (RM1,500), Gred 41 hingga Gred 48 (RM1,800) dan Gred 52 hingga Gred 54 (RM2,500).

"Misalnya bagi mereka yang berada di Gred 17, gaji semasa dalam SSM ialah RM820 perlu dinaikkan sebanyak RM1,000 kepada RM1,800," katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas cadangan Cuepacs pada mesyuarat pasukan petugas semakan semula SBPA di sini, Rabu.

Omar turut mencadangkan agar mereka yang berada di tangga gaji tahap maksimum atau pada tangga gaji mati perlu dibayar tunggakan kenaikan tahunan selama mana mereka tidak menikmati sebarang kenaikan selain perlu dinaikkan gred.

"Misalnya bagi mereka yang sudah terhenti kenaikan gaji sejak lima tahun lepas, sekiranya kenaikan setahun mereka ialah RM100 jadi perlu dibayar tunggakan sebanyak RM500," katanya.

Selain itu, Cuepacs turut menuntut mereka yang lulus Penilaian Tahap Kecekapan pada Aras 4 sebelum Disember 2011 perlu diberi kenaikan gaji.

"Banyak aduan yang diterima apabila SBPA diperkenalkan mereka yang sudah lulus Aras 4 tidak diberi kenaikan gaji. "Ini tidak adil kerana bukan mudah untuk mendapat lulus Aras 4, terpaksa berkorban baca buku siang malam tapi bila dah lulus tidak dinaikkan gaji, sia-sia sahajalah usaha mereka," katanya.

Omar berkata tuntutan Cuepacs itu dirasakan sesuai memandangkan mereka yang di kedudukan atas daripada Gred 54 telahpun menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA. "Kalau betul kerajaan berhasrat untuk merapatkan jurang antara pegawai rendah dengan atasan maka tuntutan itu adalah dirasakan wajar, apa yang Cuepacs lakukan ialah untuk menuntut kesaksamaan," katanya.

Beliau berkata terpulang kepada pasukan petugas SBPA untuk menilainya dan jika merasakan tuntutan itu melibatkan kos yang tinggi, Cuepacs mencadangkan gaji kumpulan yang menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA dikurangkan dan disalurkan kepada gred bawahan.

"Jika tidak boleh juga...apa yang terkandung dalam SPBA sekarang perlu ditukar keseluruhannya dan digantikan dengan terma-terma yang baru," katanya.-BERNAMA

Tuesday, February 21, 2012

CUEPACS MAHU TARIKH KUAT KUASA SBPA DIKEKALKAN 1 JAN DAN DIBAYAR TUNGGAKAN

PUTRAJAYA, 20 Feb (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu tarikh kuat kuasa Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dikekalkan pada 1 Jan lepas, dan tunggakan gaji dibayar kepada semua penjawat awam dari tarikh itu.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata permintaan itu adalah wajar memandangkan kerajaan sebelum ini menetapkan tarikh kuat kuasa SBPA bermula 1 Jan tetapi pelaksanaan sahaja ditangguhkan berikutan semakan semula beberapa perkara dalam skim baru itu.

"Jadi permintaan Cuepacs ialah supaya tarikh kuat kuasa SBPA pada 1 Jan itu dikekalkan. Itu yang kita mahu.

"Ia juga adalah satu perbincangan sewaktu saya bertemu dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) tempoh hari. Jadi kekalkan tarikh kuat kuasa itu, tangguh pelaksanaan, semak semula dan sehingga dapat penyelesaian dalam tempoh tiga bulan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yakin lima tuntutan Cuepacs dapat diterima selepas pembentangan kertas cadangannya kepada pasukan petugas khas semakan semula SBPA pada mesyuarat ketiganya yang dijadualkan Rabu ini.

Lima tuntutan Cuepacs itu ialah mengkaji semula prinsip pemindahan gaji penjawat Gred 54 ke bawah; mengekalkan status kekananan penjawat dalam Skim Saraan Malaysia (SSM); mengkaji semula tangga gaji maksimum; menyenaraikan penjawat yang layak memperoleh kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak semula penstrukturan kenaikan gaji bagi semua gred.

Omar berkata satu perhimpunan besar membabitkan penjawat awam dari semua gred akan diadakan pada akhir bulan depan bagi memberi penerangan secara terperinci mengenai intipati SBPA.

Terdahulu beliau bersama anggota Kelab Umno Pesara (Kumpulan Pelaksana) kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) mengunjungi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

--BERNAMA

CUEPACS MINTA BERI PERHATIAN KEPADA PETUGAS LAMA PELAKSANA GRED 17 SBPA

KUALA TERENGGANU, 19 Feb (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan dapat memberi perhatian kepada kumpulan pekerja lama dalam kumpulan pelaksana Gred-17 skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Timbalan Presiden CUEPACS Azih Muda berkata pihaknya menyarankan kumpulan itu dinaikkan ke satu gred yang lebih tinggi sebagai pengiktirafan kepada petugas-petugas berkenaan.

"Sekarang ini kalau kita lihat, kerajaan hanya beri satu kenaikan saja kepada mereka yang berkhidmat (dengan kerajaan) hingga 30 tahun atau 35 tahun, iaitu sama dengan orang baru yang dinaikkan pangkat ataupun baru saja berkhidmat empat atau lima tahun.

"Dalam SPBA sekarang, mereka yang ada sijil diberi kenaikan kepada Gred T8. Tetapi yang sudah lama berkhidmat pula tidak berpeluang kerana mereka tidak dapat pengiktirafan...sedangkan mereka juga mempunyai sijil yang sama," katanya kepada pemberita di sini.

Sehubungan itu Azih berkata CUEPACS juga mahu lapisan gred kumpulan pelaksana untuk kenaikan pangkat ditambah kerana ketika ini jumlahnya adalah terlalu sedikit dan berharap perkara ini dikaji semula sewajarnya.

-- BERNAMA

Thursday, February 9, 2012

CUEPACS BENTANG HASIL KAJIAN 22 FEBRUARI Utusan Malaysia

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan membentangkan hasil kajian penambahbaikan bagi Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) pada mesyuarat kali ketiga bersama pasukan khas semakan semula skim tersebut 22 Februari ini.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, bagi memastikan tiada masalah berbangkit, Jawatankuasa Bertindak CUEPACS akan bermesyuarat selewat-lewatnya 15 Februari ini supaya hasil kajian yang dibentangkan kelak menepati tuntutan yang dibuat.
Katanya, kertas kerja tersebut dibuat berdasarkan laporan yang diterima hasil jelajah CUEPACS untuk mendengar setiap permasalahan berkaitan SBPA di seluruh negara dan lima perkara yang dituntut sebelum ini.
“Bagaimanapun kita masih membuka ruang untuk mana-mana agensi yang mahu menyatakan pandangan dan pendapat memandangkan tarikh akhir untuk membuat aduan adalah 15 Februari.
“CUEPACS yakin mampu menyediakan kertas kerja yang komprehensif ke arah penambahbaikan skim SBPA demi memastikan setiap nasib penjawat awam di negara ini terus terbela,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri menyuarat kedua pasukan khas semakan skim SBPA di sini, hari ini.
Mengulas mesyuarat kedua hari ini, Omar berkata, perbincangan berkisar kepada lima perkara yang dituntut CUEPACS sebelum ini.
Lima perkara itu adalah mengkaji semula prinsip pemindahan gaji kakitangan Gred 54 ke bawah, mengekalkan status kekananan kakitangan dalam Skim Saraan Malaysia (SSM), mengkaji semula tangga gaji maksimum, menyenaraikan kakitangan yang layak memperoleh kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak semula penstrukturan kenaikan gaji bagi semua gred.

Wednesday, February 1, 2012

Ancaman CUEPACS: KSN setuju lantik 3 lagi

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan akhirnya akur dengan tuntutan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dengan melantik tiga lagi pemimpin kanan kesatuan itu menganggotai pasukan petugas khas semakan semula sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Beliau dipetik Bernama sebagai berkata tidak ada masalah jika mereka hendak menyertai pasukan itu kerana memang menjadi hasrat kerajaan serta Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak untuk mendengar pandangan pihak lain yang terlibat.

"Tiada masalah kerana kalau tidak terima mereka sekarang, nanti kita kena menyakinkan mereka juga, lebih baik libatkan mereka dari awal," katanya.

Isnin lalu CUEPACS mengancam menarik diri daripada pasukan petugas khas semakan semula itu jika tiga lagi wakilnya tidak dilantik.

Sebaliknya, presidennya, Datuk Omar Osman berkata mereka akan menubuhkan Jawatankuasa Bertindaknya sendiri bagi menyediakan kertas kerja komprehensif berhubung penambahbaikan skim berkenaan.

Jawatankuasa yang diketuai Timbalan Presiden CUEPACS I, Azih Muda itu diberi tanggungjawab untuk menyediakan kertas kerja berkenaan dalam tempoh tiga minggu sebelum diserahkan kepada perdana menteri.

Tiga pemimpin kanan CUEPACS yang dicadang menganggotai pasukan itu ialah Azih Muda, Setiausaha Agung Lok Yim Pheng dan Setiausaha Kewangan Jaapar Mansor.