Thursday, June 7, 2012

ALIMUDDIN MAHU KONGSI PENGALAMAN TAMBAH BAIK PERKHIDMATAN AWAM



Bernama
5/6/2012

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom mahu berkongsi pengalamannya selama 35 tahun dalam perkhidmatan awam untuk menambah baik sektor itu terutamanya perkhidmatan perguruan.

Alimuddin, yang dilantik sebagai anggota Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam, berkata transformasi perkhidmatan awam negara banyak bergantung kepada kemajuan sektor perguruan kerana hampir satu per tiga daripada jumlah keseluruhan penjawat awam adalah guru.

"Pelantikan ini adalah satu penghormatan kepada saya dan saya akan memberi sokongan dan bantuan yang diperlukan untuk menjadikan perkhidmatan awam terutamanya perguruan lebih baik, produktif dan bertaraf dunia," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan Pada Sabtu mengumumkan pelantikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi sebagai Pengerusi dan enam anggota suruhanjaya khas, yang ditubuhkan bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam negara.

Selain Alimuddin, lima lagi anggota suruhanjaya itu ialah bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam; bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Hadenan A. Jalil; bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Hussin Ismail; bekas Panglima Latihan Tentera Darat Mej Jen (B) Datuk Che Hasni Che Ahmad dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman.

Penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji transformasi perkhidmatan awam ini, yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan tetapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara, diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada perjumpaan khas bersama penjawat awam di Putrajaya, 8 Mac lepas.

TUN ZAKI AZMI DILANTIK PENGERUSI SURUHANJAYA KHAS KAJI TRANSFORMASI PERKHIDMATAN AWAM



Bernama
2/6/2012
KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam, yang ditubuhkan bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam negara.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata suruhanjaya itu mempunyai enam anggota iaitu bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam; bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom; bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Hadenan A. Jalil; bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Hussin Ismail; bekas Panglima Latihan Tentera Darat Mej Jen (B) Datuk Che Hasni Che Ahmad dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman.

"Suruhanjaya diberi mandat untuk mengemukakan perakuan kepada kerajaan dalam tempoh enam bulan," kata Mohd Sidek dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata perakuan-perakuan Suruhanjaya Khas ini akan dipertimbangkan mengikut kemampuan kewangan kerajaan.

Mohd Sidek berkata Sekretariat Suruhanjaya Khas adalah Bahagian Perancangan, Penyelidikan dan Korporat, Jabatan Perkhidmatan awam.

Penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji transformasi perkhidmatan awam ini, yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan tetapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara, diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada perjumpaan khas bersama penjawat awam di Putrajaya, 8 Mac lepas.

Najib turut mengumumkan pembatalan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan kembali kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik, termasuk pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus.
KOS BERSALIN SWASTA MAHAL
Berita Harian
Oleh Faiza Zainudin dan Sazarina Shahrim
bhnews@bharian.com.my
2012/05/26

Kerajaan sedia kaji syor CUEPACS jika hospital beri diskaun

KUALA LUMPUR: Cadangan penjawat awam wanita diberi kemudahan bersalin di hospital swasta akan menyebabkan negara menanggung beban kewangan tinggi, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.Beliau berkata, kerajaan memberi subsidi sebanyak 98 peratus untuk penjagaan kesihatan dengan kos dibelanjakan membabitkan peruntukan sebanyak RM16 bilion.Peruntukan itu juga katanya, tidak mencukupi berikutan kos penjagaan dan perkhidmatan kesihatan yang semakin meningkat pada setiap tahun.

“Kerajaan tidak mampu (peruntukan bersalin di hospital swasta) kerana kos bersalin di sana agak tinggi, beribu-ribu ringgit berbanding kos di hospital kerajaan yang kurang RM50. “Bagaimanapun kami bersedia mengkaji permintaan mereka (CUEPACS), sekiranya hospital swasta boleh beri harga yang rendah, tidak ada masalah, kalau kos sedia ada yang agak tinggi, memang kita tidak mampu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas permintaan CUEPACS kelmarin, yang mahu penjawat awam wanita diberi kemudahan bersalin di hospital swasta sehingga anak ketiga. Tiga cadangan lain bagi menghargai sumbangan 630,000 penjawat wanita termasuk wad kelas satu hospital kerajaan untuk bersalin anak keempat dan seterusnya, cuti bersalin tiga bulan gaji penuh sehingga kelahiran anak ketujuh dan cuti tanpa rekod 14 hari diperluas bagi urusan kecemasan keluarga terdekat. Mengulas lanjut, Tiong Lai berkata perkhidmatan bersalin di hospital kerajaan sudah banyak dipertingkatkan termasuk dari segi keselesaan yang turut membabitkan wad bukan kelas satu.

Di PUTRAJAYA, Tiong Lai berkata, kementerian itu mahu memastikan setiap hospital negeri mempunyai dua pakar pembedahan payu dara dan endokrin dalam tempoh tiga tahun lagi. Beliau berkata, ketika ini hanya beberapa negeri saja yang mempunyai kepakaran itu antara Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor. Katanya, ketika ini hanya terdapat 25 pakar pembedahan payu dara dan endokrin di seluruh negara.

Justeru, katanya, memorandum persefahaman (MoU) antara kementerian itu dan Akademi Perubatan Malaysia (AMM) ditandatangani bagi membolehkan kursus pembedahan payu dara serta endokrin dilaksanakan di negara ini berdasarkan kepada latihan di Royal College of Surgeons, England. “Sebelum ini, kita menghantar pakar kita ke England untuk jalani kursus selama tiga tahun di sana tetapi dengan termeterainya MoU ini, latihan berkenaan boleh dijalankan di Malaysia dengan lebih ramai pakar dapat menjalani kursus terbabit.

“Dengan kursus ini, tahap pencapaian pakar dalam bidang pembedahan payu dara dan endokrin akan meningkat, sekali gus membolehkan lebih ramai pesakit mendapat rawatan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan MoU antara kementeriannya dan AAM, di sini semalam.

Kementerian Kesihatan diwakili Ketua Setiausahanya, Datuk Kamarul Zaman Md Isa manakala AMM diwakili Timbalan Master, Datuk Dr N Arumugam.

SYOR CUTI TANPA REKOD STAF AWAM WANITA


Utusan Malaysia
26/5/2012

KOTA KINABALU 25 Mei - Penjawat awam wanita yang telah berkeluarga mungkin mendapat imbuhan baru apabila Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan mereka diberi cuti tanpa rekod 14 hari setahun.Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, mengambil kira banyak perkara yang terpaksa diuruskan oleh golongan tersebut, pihak kesatuan bersetuju mengusulkan perkara itu bagi dibincangkan dalam lembaga suruhanjaya.

Katanya, cuti tanpa rekod yang diberikan oleh kerajaan 14 hari setahun itu boleh dianggap sebagai satu lagi cara kerajaan menghargai sumbangan golongan penjawat awam wanita terhadap pembangunan negara."Cadangan itu dibuat atas dasar kebajikan dan menghargai sumbangan penjawat awam wanita yang telah berkeluarga kerana mereka banyak terlibat dalam menguruskan hal keluarga," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Perhimpunan Perdana Penjawat Awam bersama Presiden CUEPACS di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS) dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Omar berkata, sejak cuti rehat dikurangkan pada 1 Januari 2009 dan waktu anjal berkhidmat golongan wanita ditamatkan, golongan wanita sering berhadapan dengan masalah kehabisan cuti.Menurutnya, mereka terpaksa menguruskan pelbagai masalah dan hal keluarga yang menyebabkan golongan tersebut habis cuti tahunan dengan lebih cepat berbanding lelaki.
Katanya, meskipun cuti umum sudah banyak di negara ini, ia dilihat masih tidak cukup untuk golongan tersebut kerana mereka turut dibebani dengan banyak tanggungjawab lain.
Sementara itu, kata Omar, cadangan lain yang akan dikemukakan kepada lembaga suruhanjaya adalah berhubung pengeluaran gratuiti lebih awal kepada pekerja yang telah berkhidmat selama 20 atau 25 tahun.

Menurutnya, golongan tersebut dicadangkan boleh mengeluarkan pampasan kerja itu pada kadar 20 atau 25 peratus untuk kegunaan membaiki rumah, mengerjakan umrah dan menyambung pelajaran bagi diri sendiri atau ahli keluarga. Jelasnya, ia dilihat sebagai mekanisme terbaik untuk mengurangkan kadar golongan penjawat awam yang berhutang.

RAMAI PENJAWAT AWAM TIDAK MAMPU MILIKI RUMAH SENDIRI - CUEPACS



Bernama
27/5/2012

MACHANG, 27 Mei (Bernama) -- Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendapati kira-kira 60 peratus penjawat awam yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan, terutama di Lembah Klang, tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Setiausaha Kewangan Cuepacs, Jaapar Mansor berkata fenomena itu akan berterusan jika kerajaan tidak mengambil langkah tertentu, termasuk mengurangkan kadar faedah pinjaman dan menaikkan gaji kakitangan awam terbabit.

"Kadar faedah pinjaman perumahan 4 peratus yang dikenakan institusi kewangan ke atas penjawat awam pada masa ini wajar diturunkan kepada 1 peratus," katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Beliau tidak menolak kemungkinan penjawat awam yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan hanya mampu menyewa atau memiliki rumah kos rendah bertaraf Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Jaapar yang juga Pengerusi Cuepacs Selangor berkata, saranan supaya kerajaan menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan itu adalah antara tuntutan yang pernah dikemukakan kongres itu kepada kerajaan sebelum ini.

"Walaupun ia bukan merupakan tuntutan utama Cuepacs, namun ia akan terus diperjuangkan oleh penjawat awam melalui kongres itu," katanya .

Kongres itu juga sedang melancarkan gerakan mengesan penjawat awam yang belum memiliki rumah di seluruh negara untuk dijadikan garis panduan untuk tindakan yang akan diambil demi kebajikan anggotanya.

Sementara itu, beliau berkata Cuepacs mahu kerajaan mempercepatkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Mengkaji Skim Gaji dan Elaun Penjawat Awam seperti yang diumumkan Perdana Menteri 8 Mac lepas.

Kongres juga akan terus mengadakan gerakan penerangan kepada anggotanya ke seluruh negara mengenai peluang yang dinikmati mereka melalui penambahbaikan Skim Saraan Baru (SSB).