Tuesday, March 13, 2012

PARLIMEN : KERAJAAN TELAH BINCANG DENGAN CUEPACS SEBELUM RANGKA SBPA: NAJIB

Bernama
13/3/2012
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan Cuepacs dalam merangka Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Perdana Menteri memberitahu persidangan Dewan Rakyat pada Selasa bahawa kerajaan telah mengadakan forum perbincangan bersama Cuepacs dan wakil persatuan itu melalui tiga Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) yang bersidang sekurang-kurangnya tiga kali setahun.

"Mesyuarat tidak berkala lain juga diadakan antara pegawai tertinggi kerajaan dengan ahli Majlis Tertinggi Cuepacs. Kerajaan juga menerima memorandum daripada Cuepacs dengan tuntutan tertentu yang telah dikaji dan diambil kira dalam penggubalan SBPA.

"Sepanjang 2011, sebanyak 13 mesyuarat utama bersama Cuepacs diadakan merangkumi mesyuarat dengan MBK, taklimat pada Ahli Majlis Tertinggi Cuepacs dan siri perjumpaan bersama Cuepacs yang membawa kepada termeterainya memorandum persefahaman mengenai pelaksanaan SBPA antara Jabatan Perkhidmatan Awam dan Cuepacs yang ditandatangani pada 28 Dis 2011," katanya pada sesi soal jawab.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) yang ingin tahu mengapa kerajaan tidak memanggil Cuepacs untuk berbincang mengenai pelaksanaan SBPA dan pendirian kerajaan terhadap tuntutan-tuntutan Cuepacs.

Sesi soal jawab kemudian bertukar kecoh apabila Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) mengemukakan soalan tambahan mengenai status 36 pegawai dalam Kumpulan Primier yang telah menerima ganjaran gaji dan pencen mengikut SBPA sejak 1 Jan lepas.

Menjawab soalan itu, Perdana Menteri berkata: "Nampaknya ahli yang berhormat berkenaan nak jadi juara kepada 36 orang ini. Kerajaan kita nak jadi juara kepada 1.4 juta penjawat awam."

Jawapan itu menyebabkan Mahfuz dan beberapa anggota pembangkang lain termasuk Ahmad Kasim (PKR-Kuala Kedah) dan Dr Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor) tidak berpuas hati.

Perang mulut dihentikan apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia masuk campur dan menegaskan mana-mana menteri boleh memilih untuk menjawab atau tidak menjawab soalan yang dikemukakan.

Jumaat lepas, sumber JPA memberitahu Bernama jabatan itu dijadual bermesyuarat minggu ini untuk mencari mekanisme yang bersesuaian bagi menyelesaikan isu penjawat awam dan pesara yang sudah memperoleh bayaran gaji dan pencen mengikut SBPA.

Pada 8 Mac, Najib mengumumkan pembatalan SBPA dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik yang menyaksikan penjawat awam menikmati kenaikan gaji antara tujuh dan 13 peratus berkuatkuasa 1 Jan tahun ini.

NAJIB DITCHED NEW GOVERMENT PAY SCHEME AS IT WENT OFF-TARGET

March 13, 2012

The PM told Parliament that his administration was forced to review the SBPA after it raised the ire of the civil service for only benefiting top government servants. — file pic
KUALA LUMPUR, March 13 — The controversial Public Service Remuneration Scheme (SBPA) was scrapped because it failed to meet the government’s commitment of a seven to 13 per cent raise across the entire civil service, Datuk Seri Najib Razak said today.
The Najib administration was forced to ditch the scheme last week after it raised the ire of the 1.4 million-strong civil service for only benefiting top government servants while the majority of the civil service was left with paltry salary hikes.
The prime minister told Parliament today this reason made him order a review of the SBPA just two weeks after it was introduced on January 1.
“In my Budget speech last October, I gave the government’s commitment based on the principle of a seven to 13 per cent salary hike and a raise in annual income of between RM80 and RM320.
“But when it was translated into action, it ran off from the decision that was made. That is why we took the decision to cancel SBPA and return to the commitment that I have made,” he said in response to Opposition Leader Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Najib said on March 8 the existing Malaysian Remuneration System (SSM) would be kept with improvements while the salaries of the Chief Secretary to the Government and top-tier civil servants in the “Premier Service I” (Turus I) category would only be adjusted by seven per cent.
Civil servants in the management and professional groups and Grades 1 to 54, in turn, would see their salaries hiked by 13 per cent across the board, he said.
It was revealed recently that under the SBPA, the Chief Secretary would draw a salary of RM60,000 while those in the “Premier Service” category were to rake in RM36,000, a vast difference from those in the lower pay grades, some of whom were only given increments as low as RM1.70.
The revelation following the obvious disparity between the salaries of top civil servants and those in the lower grades had ignited anger and disapproval in the 1.4 million-strong civil service — a key vote bank for the ruling Barisan Nasional (BN) coalition — ahead of a general election that must be called by May 2013.
Although the scheme was scrapped on March 8, it raised questions about the internal processes within those in charge of the pay review and the Cabinet’s competency to digest beyond the headline figures presented to it when the entire wage scheme was being structured.
Najib also defended today the initial introduction of the SBPA, saying at least 13 meetings were held with the Congress of Unions of Employees in the Public and Civil Services (Cuepacs) across 2011.
The BN chief said this led to a Memorandum of Understanding on the introduction of the new scheme being signed by the civil service union and the government on December 28 last year.

Monday, March 12, 2012

ANGKAT IMEJ PERKHIDMATAN AWAM

Utusan Malaysia
NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
11/3/2012


TENGAH hari selepas pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) diumumkan Khamis lalu, saya berkesempatan bersembang dengan tiga orang penjawat awam. Riak wajah mereka ceria. Rancak bertukar cerita sesekali disulami gurauan. Kata mereka, peniaga tentunya kumpulan paling gembira. Naik gaji maknanya ada peluang naikkan harga barang. Naik gaji ertinya kuasa membeli kalangan 1.4 juta penjawat awam bertambah. Luahan kata hati mereka seolah-olah memberi gambaran bahawa kenaikan 13 peratus itu adalah milik peniaga di luar sana. Di akhir perbualan, kami menyimpulkan tajuk perbualan - SBPA, baru bermula sudah berakhir.


SBPA memang sempat bermula. Perjalanan pelaksanaannya amat pantas. Akhir Januari lalu, kumpulan yang memilih SBPA telah pun dibayar gaji baru. Ketika Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membuat bantahan, sebahagian peruntukan kewangan telah pun berlegar kepada para penerimanya. Apabila SBPA dibatalkan, tentunya timbul persoalan perlukah ia dikembalikan. Penerima premier berjanji untuk memulangkan hak sementara itu. Khabarnya mereka sendiri terkejut melihat perubahan gaji yang amat ketara jumlahnya itu dan tidak keberatan mengembalikan kepada kerajaan lantaran memahami kedudukan kewangan negara.


Keterujaan lebih 1.4 juta kakitangan awam berkisar kepada soal imbuhan. SBPA disanggah kerana kenaikan gaji yang amat tidak setara sehingga mewujudkan senario dua darjat antara kumpulan sokongan dengan pengurusan terutamanya Jawatan Utama Sektor Awam dan Turus.


Saya pernah mengajukan perihal perkembangan perkhidmatan awam kepada bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji. Biar pun tajuk temuramah ketika itu tertumpu kepada siri syarahan perdana Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim, soal peningkatan kualiti perkhidmatan awam tidak dilepaskan begitu sahaja.


Berulang kali Ahmad Sarji menekankan tentang kualiti penjawat awam yang menjadi penentu mutu perkhidmatan kepada rakyat dan negara. Beliau bercakap soal ketegasan dan rasa hormat terhadap perkhidmatan awam yang perlu dipelihara. Sebolehnya jangan ada ruang untuk kegagalan, pada masa yang sama laluan terhadap penambahbaikan mesti sentiasa terbuka.


Perkhidmatan awam bukan semata-mata gaji dan imbuhan. Komitmen, cekap, ikhlas, jujur umpama warna pelangi yang saling melengkapi. Hilang satu warna bukan pelangi namanya. Jaluran pelangi tidak akan sempurna jika satu warna hilang atau tercicir. Begitu juga dalam perkhidmatan awam, apabila ciri-ciri yang menjadi darah daging penjawat awam tercicir maka tanggungjawab tidak akan dapat disempurnakan. Sebab itu apabila bercakap tentang perkhidmatan awam, bukan hanya soal gaji. Bukan berapa peratusan pelarasan, bukan juga siapa dan apa yang mereka peroleh semata-mata. Hakikatnya perkhidmatan awam yang ramai anggotanya amat eksklusif sehinggakan martabatnya perlu dipelihara. Jika ada rungutan atau aduan tentang kecacatan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam maka martabatnya jatuh.


Dalam erti kata lain perkhidmatan awam mesti bernafas seiring dengan arus kemajuan dan pembangunan. Kepesatan negara menuntut pemain-pemain di dalam perkhidmatan awam bergerak pantas, bersifat responsif, peka kepada tuntutan semasa, kreatif, inovatif dan pelbagai lagi. Pembaharuan demi pembaharuan menjadikan sektor awam hidup tanpa ada tarikh luputnya.


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menekankan tentang peri penting penjawat awam beralih dari tradisi birokrasi. Memperkatakan tentang sektor awam maka istilah paling popular atau sinonim adalah birokrasi dan hierarki yang merimaskan.


Perkara itu pernah diakui bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dalam kesempatan menemui beliau akhir tahun lepas. Beliau melahirkan rasa pelik tentang birokrasi keterlaluan - sekeping surat pekeliling akan turun naik dari ketua jabatan ke pengarah, ketua pengarah, ketua setiausaha yang kemudiannya turun semula mengikut carta aliran sebelum boleh dipanjangkan kepada pihak yang berkenaan.


Prosedur ketat dan lapisan hierarki yang keterlaluan melambatkan proses penyampaian maklumat sehingga tindakan segera tidak dapat dilaksanakan tentunya mematikan keberkesanan penyampaian awam.




Fleksibel


Untuk membolehkan malar segarnya sektor awam sebagaimana pihak korporat dan swasta maka tentunya segala amalan ketat mesti diubah menjadi lebih fleksibel supaya dapat memenuhi tuntutan yang sentiasa berubah terutamanya dalam keadaan di luar jangka. Contoh paling mudah kesesakan jalan raya luar biasa di bandar raya Kuala Lumpur kelmarin. Kejadian itu cukup untuk semua pihak mengukur sejauh mana cekap, responsif dan fleksibelnya perkhidmatan awam di negara ini yang mana kakitangannya baru saja menerima berita gembira 13 peratus pelarasan gaji. Sejauh mana kreatif serta inovatifnya jabatan terlibat dalam menangani kesesakan yang menimbulkan kemarahan orang ramai sehingga ada yang terpaksa mengambil cuti kecemasan. Perkhidmatan awam bukan sekadar melaksanakan kerja-kerja di pejabat. Biar pun perkhidmatan di kaunter awam diakui semakin meningkat namun dalam menangani keadaan di luar jangka yang melibatkan sektor awam, kelemahan masih ketara.


Perubahan sektor awam supaya lebih kreatif, responsif dan pelbagai lagi itu bertujuan mewujudkan sebuah jentera pentadbiran yang lebih kemas dengan saiz anggota yang sesuai. Jangan pula umpama tikus membaiki labu, apabila perubahan yang dibuat hanya mengisi ruang-ruang yang sebenarnya tidak diperlukan dan akhirnya menambah birokrasi dan hierarki. Dalam sektor awam menuju fleksibiliti, mereka kembali kepada tradisi yang akan membunuh kecekapan sektor awam itu sendiri. Seperkara lagi yang sering menimbulkan rajuk kakitangan awam apabila jawatan baru diwujudkan, yang mengisinya adalah orang luar. Kewujudan kategori premier dalam SBPA amat jelas menjurus ke situ apabila jawatan itu turut dibuka kepada orang luar seolah-olah menafikan kebolehan penjawat awam itu sendiri.


Ingatlah kepada piagam pelanggan yang menghiasi dinding-dinding di jabatan awam. Setiap sen yang diperoleh baik menerusi Sistem Saraan Baru, Sistem Saraan Malaysia mahu pun SBPA yang hanya sebulan usianya perlu berlandaskan mutu perkhidmatan kakitangan awam dalam menyampaikan perkhidmatan masing-masing.


Pembatalan SBPA perlu disusuli dengan penambahbaikan mindset penjawat awam sejajar dengan peranan sebenar sektor awam yang hakikatnya sangat penting jika mahu dibandingkan dengan sektor-sektor lain yang agak terhad fungsinya.


Paling penting setiap perubahan yang hendak diperkenalkan mesti benar-benar difahami dan menjalani proses perbincangan berterusan. Sebelum sesuatu dasar dapat dilaksanakan terutama jika melibatkan keseluruhan penjawat awam maka beri penerangan dan buka ruang untuk maklum balas. Jangan nanti terjadi seperti mana pelaksanaan SBPA yang prosesnya berlangsung secara senyap dan sulit tetapi pantas sehingga akhirnya apabila tembelang pecah baunya tidak dapat ditahan. Tentunya ada yang tidak betul dalam perjalanan SBPA sehinggakan bantahan terhadap pelaksanaannya tidak dapat ditahan membawa kepada pembatalan Khamis lalu.


Sememangnya diakui perkhidmatan awam di negara ini sentiasa menjalani proses penambahbaikan. Perjalanan itu tidak sepatutnya berhenti, lantaran masih banyak kelemahan yang perlu diperhalusi dan diperbaiki. Namun perlu diberi perhatian bahawa memperkenalkan pembaharuan bukannya trial and error. Kesannya amat besar sehingga mampu membunuh integriti perkhidmatan awam dan tidak mudah dipulihkan dalam masa yang singkat

TUBUH SURUHANJAYA KHAS: CUEPACS

Berita Harian
2012/03/10




OMAR (kanan) ketika majlis taklimat bersama PDRM Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, semalam. - Foto BERNAMA
OMAR (kanan) ketika majlis taklimat bersama PDRM Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, semalam. - Foto BERNAMA


MELAKA TENGAH: CUEPACS berharap kerajaan dapat mempercepatkan penubuhan suruhanjaya khas bagi melaksanakan penambahbaikkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang kini diguna pakai semula bagi menggantikan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, langkah itu bagi membolehkan mereka yang terbabit dalam suruhanjaya berkenaan mengambil perhatian perkara masih belum diperjelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin. “Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh suruhanjaya penambahbaikan itu termasuk hal berkaitan isu gaji maksimum kakitangan yang lama berkhidmat. “Ini kerana, selepas menerima kenaikan 13 peratus, gaji mereka akan menjadi maksimum semula,” katanya selepas menyampaikan taklimat kepada kakitangan perkhidmatan awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Bukit Beruang, dekat sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye.

Program itu antara lain memperjelaskan secara terperinci mengenai pelarasan gaji dan Elaun Sara Hidup (COLA) seperti diumumkan Perdana Menteri di Putrajaya, kelmarin.

Najib yang juga Menteri Kewangan kelmarin mengumumkan pembatalan sistem SBPA dan mengembalikan semula SSM yang ditambah baik.
Beliau juga mengumumkan pelarasan gaji 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana dari Gred 1 hingga Gred 54, selain pelarasan gaji sembilan peratus untuk gred Utama dan Khas C, B serta A.

Mengulas lanjut, Omar berkata, CUEPACS akan memohon Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi kelonggaran kepada kakitangan yang tidak memilih opsyen saraan 60 tahun, supaya berpeluang menandatanganinya semula

Friday, March 9, 2012

CUEPACS HARAP SURUHANJAYA KAJI PERKHIDMATAN AWAM DILAKSANA SECEPAT MUNGKIN

Bernama
9/3/2012

MELAKA, 9 Mac (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia dapat dilaksanakan segera.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata sebaiknya perbincangan berhubung langkah penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dimulakan dari sekarang selepas sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dibatalkan.

"Kita harap suruhanjaya ini cepat ditubuhkan dan dapat jasa baik Perdana Menteri, siapa yang jadi pengerusi (suruhanjaya) dapat diumumkan secepat mungkin.

"Ini kerana nak menyediakan sesuatu skim bukannya mudah," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri Melaka di Ibu Pejabat Kontinjen Melaka, di sini Jumaat.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada perjumpaan khas penjawat awam di Putrajaya semalam. Beliau turut mengumumkan pembatalan SBPA dan pelaksanaan semula SSM yang ditambah baik, termasuk pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus.

-- BERNAMA

PELARASAN GAJI LIBATKAN PERUNTUKAN TAMBAHAN RM6 BILION

Bernama
9/3/2012

JOHOR BAHARU, 9 Mac (Bernama)-- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pelarasan gaji berdasarkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang diumumkannya semalam berikutan pemansuhan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) melibatkan peruntukan tambahan RM6 bilion.

Perdana Menteri berkata peruntukan tambahan itu disediakan kerana kerajaan mahukan lebih ramai penjawat awam menikmati pelarasan gaji maksimum terutama golongan dalam kategori kumpulan pelaksana ataupun sokongan.

"Kali ini kita nak ramai yang menikmati pelarasan gaji maksimum sehingga 13 peratus, jadi kita naikkan sampai kepada Gred 54. Dengan ini kita terpaksa cari peruntukan tambahan yang kesemuanya lebih RM6 bilion tetapi jumlah sebenar kita sedang tentukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Agama Taman Molek di sini Jumaat. Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya peruntukan tambahan itu juga termasuk peruntukan untuk kenaikan elaun Bantuan Sara Hidup (COLA).

Perdana Menteri sementara itu menyangkal dakwaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya tindakan kerajaan mengumumkan pemansuhan SBPA semalam adalah ekoran desakan pembangkang .

"Merujuk ucapan perbelanjaan Bajet 2012 yang saya bentangkan Oktober tahun lalu, saya bagi komitmen bahawa penjawat awam akan terima pelarasan gaji 7 hingga 13 peratus.

"Tetapi apabila SBPA digubal, ia tergelincir daripada tafsiran yang telah saya umumkan, sebab itu kerajaan ambil keputusan untuk kembali semula terhadap komitmen yang telah saya berikan Oktober tahun lepas.

"Ini tidak ada kena mengena dengan apa yang didakwa oleh pembangkang. Dia ni (Anwar) biasalah "lembu punya susu, dia mahu nama". Dah kerja pembangkang," katanya.

Beliau berkata, pembatalan SBPA itu juga tiada kaitan dengan pilihan raya umum ke-13 akan datang sebaliknya lebih kepada soal mengotakan janji yang telah dibuat oleh kerajaan sebelum ini dalam Belanjawan 2012.

Perdana Menteri semalam mengumumkan SBPA yang sepatutnya berkuatkuasa pada 1 Jan 2012 dibatalkan dan mengekalkan SSM yang ditambah baik.

Beliau juga mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana dari Gred 1 hingga Gred 54, bagi Kumpulan Gred Utama C,B,A (9 peratus), Gred Turus 3 dan 2 (8 peratus) dan Gred Turus Satu dan Ketua Setiausaha Negara (7 peratus) selain kenaikan COLA.

Sementara itu, Najib melahirkan keyakinan Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan pemerintahan di Johor dalam pilihan raya umum akan datang.

"Johor jelas bahawa nampak rakyat ceria, jadi rasanya masih lagi sebuah negeri yang terasnya BN. Kita boleh rasa," katanya.

Beliau mahu kerajaan negeri meneruskan hubungan positif dengan semua lapisan masyarakat di negeri ini dengan cara berhemah dan rendah diri supaya rakyat terus menyokong BN.

-- BERNAMA

CUEPACS SSM 'GANTI' SBPA HANYA INTERIM

Wartawan Sinar
8 Mac 2012
logo cuepacs

SHAH ALAM - Cuepacs, badan induk kesatuan sekerja sektor awam, berkata Sistem Saraan Malaysia (SSM), yang hendak digunakan semula sebagai pengganti kepada Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dimansuhkan hari ini, hanya bersifat sementara hingga skim baru yang menyeluruh dirangka kelak.

Timbalan Presidennya, Azih Muda berkata, pihaknya percaya kerajaan akan memperkenalkan satu sistem saraan yang baru memandangkan SSM digunakan semula dengan SBPA yang pembatalannya diumumkan hari ini.

SSM, yang digunakan hampir satu dekad, diperkenalkan bagi menggantikan Sistem Saraan Baru (SSB). SSB dikuatkuasakan pada Januari 1992.

Kedua-dua SSB dan SSM menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan kerajaan.

"Saya yakin kerajaan akan datang dengan satu sistem yang baru sama sekali, sebab itu kerajaan bentuk satu suruhanjaya bagi menjalankan kajian," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Sehubungan itu kata beliau, Cuepacs akan mengemukakan cadangan tambahan selain berharap suruhanjaya yang dibentuk akan mengkaji segala pandangan yang telah diberikan sebelum ini kepada pasukan petugas khas yang dibentuk bagi menyemak SBPA.

Azih juga berkata, Cuepacs akan mengadakan mesyuarat khas esok untuk mengumumkan secara rasmi pendirian berkenaan dengan keputusan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan pagi tadi mengumumkan pembatalan skim SBPA dan mengembalikan SSM yang ditambah baik.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelarasan gaji 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional dan Kumpulan Pelaksana di Gred 1 hingga Gred 54, di samping pelarasan gaji sembilan peratus untuk gred Utama dan Khas C, B serta A.

Pelarasan gaji untuk Kumpulan Turus III serta Turus II pula sebanyak lapan peratus, dan Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara sebanyak tujuh peratus.

Kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia, yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan tapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.
Perdana Menteri berkata sebarang cadangan yang disyorkan oleh suruhanjaya yang dianggotai semua pihak berkepentingan yang bekerja menerusi prinsip musyawarah, perundingan dan permuafakatan itu akan dipertimbang mengikut
kemampuan kerajaan.

Kata Najib, struktur gaji SSM akan diubah suai daripada jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga 54 ditetapkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred.

Kadar KGT bagi JUSA dan ke atas pula kekal menggunakan Kenaikan Gaji Tahunan SSM dengan diberikan pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia, Khairil Niza Khairuddin berkata, pihaknya menyambut baik keputusan membatalkan SBPA dan penambahbaikan skim SSM dengan pelarasan gaji yang lebih adil.

"KPISM juga bersetuju sepenuhnya dengan penubuhan suruhanjaya khas bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia dan kewajaran untuk mengkaji dan mewujudkan skim khusus bagi semua agensi penguatkuasaan," katanya lagi.

Sehubungan itu, kata beliau, KPISM mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan kerana prihatin dan mendengar denyutan nadi setiap penjawat awam khususnya pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen.

Menurut Khairil, KPISM berharap kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam akan sentiasa berbincang dan berhubung rapat dengan Cuepacs dalam menentukan hala tuju skim perkhidmatan awam yang lebih baik dan jitu di masa hadapan.

"KPISM juga ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan agar bersedia memberikan gaji minimum kepada semua penjawat awam khususnya penjawat awam di Kumpulan Sokongan agar ia melepasi garis kemiskinan di bandar," kata beliau lagi.