Friday, March 25, 2011

KEBAJIKAN PENJAWAT AWAM DIJAGA

NAJIB Tun Razak bersama Muhyiddin Yassin serta Mohd. Sidek Hassan (kiri) memegang buku Perkhidmatan Awam selepas melancarkannya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-12 (MAPPA X11) di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya, semalam. – Utusan/HANAFI KHAMIS



PUTRAJAYA 22 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan lagi beberapa khabar gembira untuk meningkatkan motivasi dan melahirkan penjawat awam yang berdaya saing.
Ia dimaklumkan Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan bertajuk “Kerajaan Bertanggungjawab: Menunai Janji, Melangkau Jangkaan” di hadapan 5,747 penjawat awam yang menghadiri Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-12 (MAPPA XII) di sini.
Turut mendengar pengumuman tersebut ialah masing-masing 300 dan 270 penjawat awam yang menghadiri sidang video dengan Perdana Menteri di Wisma Bapa Malaysia di Sarawak dan Auditorium Intan di Sabah.
Berikut perkara yang diumumkan Perdana Menteri:
n Berkuat kuasa mulai tarikh semasa, pesara skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara pada umur wajib atau di bawah Seksyen 6A(6) Akta 227/239 termasuk ahli keluarga tanggungan mereka, layak menikmati kemudahan rawatan percuma.
Pelaksanaan pemanjangan rawatan perubatan percuma kepada pesara skim KWSP ini hanya diberi kepada anggota perkhidmatan awam di bawah skim KWSP yang telah di bersara wajib oleh kerajaan Persekutuan atau negeri atau Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan. Bagaimanapun, ia tidak merangkumi mereka yang meletak jawatan atau meninggalkan perkhidmatan atas kehendak sendiri.
n Berkuat kuasa mulai tarikh semasa, ganjaran akan dibayar 100 peratus kepada anggota sektor awam yang bersara pilihan di bawah pilihan skim pencen sekali gus memansuhkan penangguhan bayaran sebahagian ganjaran sebelum ini.
n Kajian semula sistem saraan sedang dijalankan bagi mewujudkan perkhidmatan awam yang lebih produktif, berinovasi, kreatif dan berprestasi tinggi.
n Kerajaan akan memperkenalkan anugerah khas kepada penjawat awam yang aktif dalam aktiviti kesukarelaan, kemasyarakatan, sukan dan kebudayaan selain menunjukkan mutu kerja yang tinggi. Untuk itu, tahap prestasi kerja dan penglibatan aktif dalam semua aktiviti sepanjang 2011 akan dinilai bagi tujuan tersebut.
n Pegawai-pegawai awam di peringkat pertengahan yang berpotensi tinggi akan dihantar untuk mengikuti kursus-kursus terpilih bagi menyediakan mereka dengan kemahiran kepimpinan. Pada masa sama, kemajuan kerjaya dan peluang-peluang kenaikan pangkat Kumpulan Pelaksana akan diperluaskan kepada pegawai yang telah berjaya memiliki kelayakan yang tinggi.
n Kajian terperinci akan dilaksanakan untuk merasionalisasikan perkhidmatan awam bertujuan mengurangkan lebihan anggota melalui penjajaran semula fungsi agensi yang bertindih, pengawalan pengisian jawatan kosong dan pengagihan semula perjawatan.
n Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) digantikan dengan penilaian baru yang lebih memfokus kepada elemen pembangunan kompetensi berasaskan gred dan jawatan serta mengambil kira keunikan pelbagai skim perkhidmatan. Untuk memastikan ia relevan, ketua perkhidmatan atau ketua jabatan diberi fleksibiliti dalam menentukan kaedah penilaian di jabatan masing-masing berdasarkan garis panduan yang sedang disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
n Jawatankuasa penilai pemantauan prestasi akan ditubuhkan bagi memastikan pegawai kerajaan terlibat dalam sistem pool tidak teraniaya di mana elemen keadilan dan penilaian bebas akan diamalkan.
n Bagi pegawai yang berprestasi rendah atau mempunyai masalah kesesuaian penempatan di semua peringkat termasuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi, satu kaedah exit policy akan diwujudkan di bawah Kajian Semakan Sistem Saraan Malaysia untuk menamatkan perkhidmatan tersebut.

Ganjaran Penuh

Penjawat awam pilih bersara awal diberi imbuhan sekali gus: Najib

PUTRAJAYA: Kerajaan semalam menarik balik penangguhan bayaran sebahagian ganjaran berkaitan persaraan pilihan kepada penjawat awam berkuat kuasa 1 Februari 2010.

Berikutan itu, penjawat awam yang memilih bersara pilihan akan menerima bayaran sekali gus atau 100 peratus. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkannya, berkata kerajaan juga bersetuju supaya semua penjawat awam yang mengambil Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara wajib atau bersara mengikut Seksyen 6A (6), Akta 227/239, termasuk ahli keluarga tanggungan mereka, layak menikmati kemudahan rawatan perubatan secara percuma. "Keputusan itu dibuat berkat usaha kakitangan kerajaan membantu kerajaan menguruskan kewangan negara dengan bijak, sehingga mampu memulihkan negara daripada masalah ekonomi," katanya berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, semalam.

Pada 1 Februari 2010, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengumumkan keputusan kerajaan menangguh bayaran sebahagian ganjaran membabitkan permohonan bersara pilihan bagi kakitangan awam Persekutuan, negeri dan badan berkanun serta tempatan.

Ia berikutan kedudukan kewangan semasa negara, selain mengelakkan kekurangan pegawai terlatih bagi mengendalikan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Antara syarat itu, kakitangan yang ingin bersara pilihan perlu bersetuju menerima hanya 20 peratus ganjaran atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi berbanding bayaran sekali gus seperti sebelumnya.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah; Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman, menteri-menteri Kabinet.

Majlis yang dihadiri kira-kira 5,757 penjawat awam itu turut disaksikan secara langsung oleh 570 penjawat awam di Sarawak dan Sabah yang mengikutinya secara sidang video di kedua-dua negeri.

Mengulas keistimewaan yang bakal dinikmati pesara Skim KWSP itu, Najib berkata, ia tidak akan membabitkan mereka yang meletakkan jawatan atau meninggalkan perkhidmatan atas kehendak sendiri.

Katanya, ia juga hanya boleh dinikmati mereka yang bersara wajib oleh kerajaan Persekutuan atau negeri atau pihak berkuasa berkanun dan tempatan.

Mengenai Kajian Semakan Sistem Saraan Malaysia, Najib berkata, satu kaedah `exit policy' akan diwujudkan untuk menamatkan perkhidmatan pegawai yang berprestasi rendah atau mempunyai masalah kesesuaian penempatan di semua peringkat termasuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

"Kaedah baru ini bakal diperkenalkan berikutan masalah sistem pool yang dibangkitkan sebelum ini bertujuan memastikan pegawai yang terbabit tidak teraniaya dengan mengamalkan sistem penilaian yang bebas dan berkecuali.

"Mengikut kaedah baru ini, pegawai berkenaan akan diberikan tugasan khusus bagi memanfaatkan pengalaman mereka," katanya.

Mengikut sistem penilaian baru yang bakal dilaksanakan mulai Jun ini, Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan diberikan fleksibiliti dalam menentukan kaedah penilaian di jabatan masing-masing berdasarkan garis panduan yang sedang disediakan oleh JPA.

Najib turut mengumumkan cadangan kerajaan memperkenalkan satu lagi anugerah khas bagi menghargai penjawat awam yang menunjukkan mutu kerja tinggi di pejabat dan pada masa sama bergiat aktif dalam kegiatan sukarelawan, kemasyarakatan, sukan dan kebudayaan.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, tahap prestasi kerja dan pembabitan aktif penjawat awam dalam semua aktiviti sepanjang 2011 akan dinilai bagi tujuan berkenaan

Monday, March 14, 2011

Makluman Penting

Berikutan daripada letupan loji nuklear di Fukushima Jepun, adalah dinasihatkan orang ramai tidak mendedahkan diri mereka di dalam hujan kerana dikhuatiri bahan radioaktif akan turut turun bersama hujan.
Sebuah kapal pengangkut jet Amerika Syarikat telah dipindahkan berikutan terdapatnya kesan radioaktif rendah pada jarak 160km di tengah lautan.
Lebih baik kita berwaspada dari menanggung derita.
Rujukan : http://www.bbc.co.uk/news/world-asia-pacific-12733393
               http://www.bbc.co.uk/news/world-asia-pacific-12720219

Thursday, March 10, 2011

Presiden KPKSM cedera diserang tiga lelaki.

Presiden KPKSM Sdr. Ibrahim Ahmad mengalami kecederaan apabila diserang tiga orang lelaki yang tidak dikenali di Johor Bahru pada tengah malam Selasa yang lalu. Akibat dari serangan itu tangan kiri beliau telah patah apabila dipukul dengan batu bata. Beliau telah membuat laporan polis dan kes ini masih di dalam siasatan polis.
Pada pagi tadi satu sidang media telah dilakukan berikutan dengan kejadian ini. Marilah kita bersama-sama mendoakan keselamatan beliau.

Sdr. Presiden semasa mendapatkan rawatan di hospital.

CUEPACS KEMUKA 4 TUNTUTAN BARU

SANDAKAN 8 Mac – Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan mengemukakan empat tuntutan baru tahun ini dalam usaha penambahbaikan perkhidmatan penjawat awam.
Ia termasuklah membuat semakan semula gred penjawat awam dan pemberian elaun wilayah, menyambung kembali perkhidmatan pekerja kontrak di bawah Kementerian Pelajaran, selain mengkaji semula pemberian insentif kepada kakitangan kesihatan yang dalam status on call (siap siaga).
Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, kesemua tuntutan yang dikemukakan itu dilihat perlu diselaraskan semula dengan mengambil kira kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa kini.
‘‘Penjawat awam memerlukan semakan gred baru. Selain itu, kita juga meminta kerajaan mengkaji semula elaun wilayah yang hampir 17 tahun tidak ada penambahbaikan.
‘‘Perkara ini perlu dikaji semula kerana kos hidup di semua tempat, termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak semakin meningkat. Jika ia masih di tahap lama, sudah pasti kos sara hidup dengan hasil pendapatan penjawat awam tidak seimbang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program ceramah anjuran Sabah Medical Service Union (SMSU) Cawangan Sandakan di Hospital Duchess of Kent di sini.
Hadir sama, Setiausaha CUEPACS Sabah, Lawrence Vun dan Presiden SMSU Sabah, Maiman Muntial.
Menurut Omar, CUEPACS akan meminta Kementerian Kesihatan mengkaji semula elaun ataupun insentif kepada penjawat awam yang dalam status bersiap-siaga.
Katanya, berdasarkan maklum balas oleh kelompok penjawat awam berkenaan, mereka tidak diberi elaun ataupun insentif sama ada dipanggil bekerja ataupun tidak ketika dalam tempoh on call.
‘‘Mana-mana penjawat awam yang kena stand by, sama ada dipanggil bekerja ataupun tidak, mereka perlu dibayar elaun ataupun setidak-tidaknya mendapat insentif,” jelasnya.

Thursday, March 3, 2011

Informasi untuk penjawat awam. Elaun Tugas Memandu Kenderaan

Rujukan                      : Pekeliling Perkhidmatan Bil. 9 Tahun 1980
                                       Pekeliling Perkhidmatan Bil. 9 Tahun 1991
                                      Pekeliling Perkhidmatan Bil. 12 Tahun 2007 

Syarat                          :
(i)         Tugas hakiki pegawai bukan memandu kenderaan.
(ii)        Mempunyai lesen memandu kenderaan yang sah mengikut kategori kenderaan yang berkenaan.
(iii)       Bagi pegawai yang diarahkan untuk memandu bot Kerajaan, pegawai hendaklah mempunyai Perakuan Kekompetenan yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut Malaysia.
(iv)       Diarahkan oleh Ketua Jabatan untuk memandu kenderaan Kerajaan bagi menjalankan tugas-tugas rasmi jabatan.
(v)        Memandu dan menguasai kenderaan berkenaan selama tidak kurang daripada 4 jam sehari.
 Kadar                          :
(i)         RM5.00 sehari memandu dan menguasai kereta/ van/ lori/ bot berenjin.
(ii)        RM3.00 sehari memandu dan menguasai motosikal.
Agensi Terlibat           : Perkhidmatan Awam
Tarikh Kuat Kuasa     : 1 Jun 2007

Informasi untuk penjawat awam. Kelayakan dan kadar bayaran wad.

Kelayakan dan Kadar Bayaran Wad


Rujukan :          Perintah Am 21 Bab ‘F’
                         Pekeliling Perkhidmatan Bil. 10 Tahun 1991
                         Pekeliling Perkhidmatan Bil. 4 Tahun 2002
                         Pekeliling Perkhidmatan Bil. 4 Tahun 2010
Syarat             :   
(i)   Kerajaan telah memutuskan bahawa bayaran wad yang dikenakan kepada pegawai dan pesara Perkhidmatan Awam, ahli keluarga dan ibu bapa yang sah semasa mendapat rawatan di hospital Kerajaan dimansuhkan.
(ii)   Pemansuhan bayaran wad ini tidak menjejaskan kelayakan wad yang ditetapkan kepada pegawai. Kelayakan wad adalah berdasarkan gred pegawai seperti yang ditunjukkan dalam jadual di bawah, tertakluk kepada fasiliti yang disediakan oleh pihak hospital:
Kadar             :                                  
Perkhidmatan Awam
Kumpulan/ GredKelayakan Wad
Pengurusan TertinggiKelas 1 Bilik Seorang
45 – 54Kelas 1 Bilik Seorang
31 – 44Kelas 1 Bilik Berdua
21 – 30Kelas 1 Bilik Bertiga
1 – 20Kelas 2

Tarikh Kuat Kuasa :  1 April 2010
Nota :
1. Bayaran wad akan dikecualikan dalam keadaan-keadaan berikut: (Perintah Am 21 (b) Bab F)
2. Pegawai jatuh sakit atau mendapat kecederaan semasa menjalankan tugas rasmi di luar ibu pejabat dengan syarat ia terpaksa dimasukkan ke dalam hospital untuk menerima rawatan.
3. Pegawai mendapatkan rawatan bagi penyakit tibi, kusta atau barah.
 4. Apabila orang awam dikecualikan daripada membayar bayaran wad kerana mengidap penyakit merebak. Seseorang pegawai yang mengidap penyakit yang sama juga akan dikecualikan daripada membayar bayaran wad.
 5. Keluarga pegawai adalah berkelayakan untuk dimasukkan ke dalam kelas wad yang sama seperti kelayakan pegawai. (Perintah Am 21 (c) Bab F)
 6. Seseorang pegawai atau keluarganya yang meminta untuk dimasukkan ke dalam kelas wad yang lebih tinggi daripada kelayakannya dikehendaki membayar kadar bayaran wad (kelas yang lebih tinggi itu) sepertimana kadar yang dikenakan kepada orang awam. (Perintah Am 23 (a) Bab F)
7. Pegawai yang dimasukkan ke hospital atau menerima rawatan di hospital atau klinik kerajaan dikehendaki mengemukakan Surat Pengesahan Diri dan Perakuan Pegawai sepertimana yang dinyatakan di dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 1993.
8. Perenggan C2 berkaitan kelayakan dan kadar bayaran wad di Lampiran C8, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002, perenggan 11 berkaitan kadar bayaran wad sehari di Lampiran O, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 1991 dan Bahagian J berkaitan permohonan perbelanjaan bagi rawatan di luar negeri di Lampiran B, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 21 Tahun 2009 adalah dibatalkan.

SOAL SELIDIK PANDANGAN PEGAWAI AWAM TERHADAP PENILAIAN KOMPETENSI MENGGANTIKAN PTK

Sila klik pautan berikut untuk mengambil bahagian di dalam soal selidik ini. http://www.kompetensi.jpa.gov.my/ptkonline
Sila beri pandangan saudara dan saudari semua untuk kebaikan kita bersama.

PENJAWAT AWAM PERLU BIJAK MENGURUSKAN KEWANGAN ELAK BANKRAP - CUEPACS

PUTRAJAYA, 2 Mac (Bernama) -- Seramai 1.2 juta penjawat awam di negara ini, terutama mereka yang berpendapatan sederhana iaitu RM3,500 ke bawah, digesa supaya lebih bijak dalam mengurus kewangan masing-masing agar tidak dibebani hutang, seterusnya diisytihar bankrap.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata pendedahan bahawa seramai 1,086 penjawat kerajaan diisytihar bankrap dianggap sebagai angka yang tinggi dan tidak sepatutnya berlaku.

"Apabila seorang penjawat awam diisytihar bankrap, dia akan ditamatkan perkhidmatan dan kesemua faedah termasuk pencen akan ditarik balik.

"Jadi kita nasihatkan kepada penjawat awam agar lihat dulu pendapatan bulanan dan kena berbelanja atas kebijaksanaan. Janganlah sampai menghuru-harakan keluarga apabila diisytihar bankrap nanti," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas perasmian Taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Taklimat Kebankrapan dan Taklimat Bantuan Guaman kepada ahli Cuepacs di Jabatan Perdana Menteri di sini Rabu oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Omar berkata pada masa ini 80 peratus daripada penjawat awam mempunyai pelbagai jenis hutang, termasuk dari bank mahupun koperasi, dan ia dipercayai didorong oleh kebolehan mendapatkan pinjaman dengan mudah melalui status sebagai penjawat awam.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan pengisytiharan bankrap itu disebabkan penjawat awam menjadi penjamin kepada pihak lain yang tidak mampu melangsaikan pinjaman.

Justeru, beliau berkata taklimat pada hari ini diharap dapat memberi lebih penerangan dan kesedaran kepada penjawat awam mengenai kebankrapan agar perkara itu dapat dielakkan pada masa hadapan.

Daripada segi Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 pula, Omar berkata ia untuk memaklumkan penjawat awam bahawa terdapat saluran yang selamat untuk mereka memberi maklumat mengenai sebarang ketirisan dalam perkhidmatan awam.

Ia juga, katanya dijangka dapat mengurangkan sindrom 'surat layang' kerana selain melindungi identiti pelapor, pihak yang melapor juga boleh diambil tindakan sekiranya perkara yang dilapor didapati tidak benar.

Beliau berkata taklimat seperti itu juga akan diadakan di seluruh negara secara berperingkat mengikut zon agar kesemua pemimpin dalam Cuepacs dapat menyertainya dan seterusnya perkara memberi penerangan atau mengadakan seminar untuk memberi penjelasan kepada penjawat awam di bawah seliaan mereka pula.

-- BERNAMA

1,086 PENJAWAT AWAM BANKRAP DAN RAMAI DIBELENGGU HUTANG

PUTRAJAYA, 1 Mac (Bernama) -- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong mendedahkan ramai penjawat awam di negara ini dibelenggu masalah hutang yang serius yang mungkin membawa kepada kebankrapan.

Beliau berkata pada tahun 2009 sahaja, Jabatan Insolvensi Malaysia melaporkan seramai 1,086 penjawat awam diisytiharkan bankrap di mana 72.74 peratus daripadanya adalah lelaki.

"Masalah ini perlu difahami oleh semua penjawat awam kerana belenggu masalah hutang boleh menjejaskan prestasi penjawat awam, dan sekiranya prestasi terjejas dengan teruk maka boleh diambil tindakan tatatertib," katanya ketika merasmikan Taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Taklimat Kebankrapan dan Taklimat Bantuan Guaman kepada ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di Jabatan Perdana Menteri di sini Rabu.

Turut hadir pada majlis anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Jabatan Bantuan Guaman dan Jabatan Insolvensi Malaysia itu adalah Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Justeru Liew berkata taklimat tersebut diadakan bagi memberi pendedahan kepada penjawat awam bagaimana untuk menangani isu-isu berkaitan dengan hutang dan kebankrapan.

Beliau berkata ia juga bagi memberi penerangan mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang telah diluluskan oleh Parlimen tahun lepas dan telah mula dikuatkuasakan pada 15 Disember tahun yang sama, serta taklimat mengenai Bantuan Guaman untuk penjawat awam.

"Ahli-ahli Cuepacs yang berpendapatan kurang dari RM25,000 setahun boleh mendapat perkhidmatan guaman percuma daripada Jabatan Bantuan Guaman dalam kes-kes seperti petisyen perceraian, tuntutan nafkah, tuntutan harta sepencarian, hak penjagaan anak dan lain-lain masalah kekeluargaan.

"Sekiranya pendapatan lebih RM25,000 tetapi tidak lebih RM30,000 mereka hanya akan dikenakan bayaran minimum," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, March 2, 2011

15,000 PEMBANTU AM NAIK PANGKAT

IPOH 28 Feb. – Seramai 15,000 pembantu am pejabat akan menikmati kenaikan pangkat dan gaji sekiranya permohonan kenaikan itu diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman (gambar) berkata, sudah tiba masa untuk kerajaan mengkaji dan menyelaraskan semula sistem penggredan sedia ada agar bersesuaian dengan taraf pendidikan penjawat jawatan itu ketika ini.
Menurutnya, pelarasan itu perlu kerana penjawat jawatan itu sebelum ini hanya berkelulusan rendah seperti di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) berbanding kini apabila turut disertai lulusan diploma dan ijazah.
“Memorandum telah dihantar kepada JPA enam bulan lalu dan kita sedang menunggu kelulusan permohonan tersebut. Saya menjangkakan keputusannya akan diketahui tahun ini juga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis taklimat dan penerangan Kesatuan Pembantu Am Pejabat (KPAP) Perkhidmatan Awam Semenanjung Malaysia di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Asri Saad dan Presiden KPAP Semenanjung Malaysia, M. Ramachandran.
Omar berkata, sekiranya permohonan itu diluluskan ia dilihat akan meningkatkan lagi semangat penjawat jawatan itu untuk bekerja keras.
“Mereka yang menjawat jawatan ini merupakan nadi yang menggerakkan sesuatu tugas di pejabat.
“Justeru itu, apabila adanya keselarasan, ia secara langsung bakal meningkatkan motivasi setiap pekerja,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menukar nama KPAP kepada nama yang lebih bersesuaian agar selaras dengan tanggungjawab mewakili persatuan itu.
Katanya, kini tugas pembantu am pejabat tidak hanya tertumpu kepada pentadbiran pejabat sahaja malah meliputi pelbagai cabang tugasan.
“Dulu memang tugas mereka hanya tertumpu di pejabat tapi kini ada antara mereka bertugas di luar seperti di makmal dan sebagainya.
“Justeru itu kita akan berbincang dengan JPA untuk mencari nama yang lebih sesuai untuk persatuan ini,” katanya.

KURSUS KENEGARAAN DIMANSUH

Penjawat awam lulus TK1, aras IV layak dipertimbang anjakan gaji

KUALA LUMPUR: Kursus Kenegaraan yang menjadi syarat wajib kepada penjawat awam untuk menerima anjakan gaji, dimansuhkan selaras pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) berkuat kuasa 1 Januari lalu. Mengikut surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 17 Februari lalu, kursus kenegaraan dikecualikan kepada pegawai yang lulus PTK di Tahap Kecekapan 1 (TK1) dan pegawai yang mendapat aras IV di TK1, sekali gus melayakkan mereka dipertimbangkan anjakan gaji tahun ini. Surat edaran bertajuk ‘Pengecualian Syarat Kursus Kenegaraan di TK1 dan Urusan Kenaikan Pangkat Selepas Pemansuhan PTK’ ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah menjelaskan pelaksanaan urusan kenaikan pangkat mulai 1 Januari lalu perlu diselaraskan terutama membabitkan pencapaian PTK.

Katanya, tarikh kenaikan pangkat pegawai yang lulus PTK adalah berdasarkan tarikh memangku atau tarikh lulus PTK iaitu mana yang terkemudian, manakala bagi pegawai yang belum lulus PTK, kenaikan pangkat berkuat kuasa selepas 1 Januari 2011.

Ketetapan itu hendaklah digunakan dalam menetapkan tarikh kenaikan pangkat pegawai yang terbabit ketika memperakukan kepada Lembaga Kenaikan Pangkat yang berkenaan sehingga ketetapan baru dikeluarkan.

“Ketua perkhidmatan atau ketua jabatan dalam menimbangkan pegawai bagi urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat boleh memberi keutamaan kepada pegawai yang lulus PTK tetapi ia juga tertakluk kepada syarat skim, merit, kesesuaian dan kepentingan perkhidmatan serta kriteria lain yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat,” katanya.
Awal bulan lalu, Berita Harian melaporkan dakwaan CUEPACS mengenai beratus penjawat awam yang berhak mendapat kenaikan gaji RM200 hingga RM400 sebulan selepas lulus PTK aras IV tahun lalu, tidak mendapatnya berikutan tindakan Biro Tatanegara (BTN) menghentikan Kursus Kenegaraan.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, dilaporkan berkata penjawat awam terbabit tidak menerima sebarang makluman daripada BTN berhubung kursus itu sehinggalah pihaknya menghubungi mereka dan dimaklumkan kursus berkenaan dihentikan sehingga Jun depan.

Lok yang menghubungi Berita Harian, kelmarin berkata pengecualian kursus kenegaraan akan memberi faedah kepada beribu penjawat awam yang sedang menunggu kenaikan pangkat, tetapi penjawat awam masih terikat dengan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) dan perakuan ketua jabatan untuk melayakkan mereka menerima anjakan gaji.

CUEPACS MINTA SEMAK GAJI 5 BIDANG

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menyemak semula skim gaji penjawat awam beruniform iaitu bomba, Jabatan Kastam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan pendapatan mereka setaraf anggota polis dan tentera.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata skim gaji bagi lima bidang penjawat awam beruniform itu tidak sesuai dengan bidang tugas dan tanggungjawab dipikul. > “Jika kita lihat lima bidang penjawat awam itu, tugas mereka perlukan ketahanan fizikal dan mental di mana mereka perlu berhadapan dengan berjaga sehingga lewat malam, berkawal di sempadan negara dan semua ini berkaitan dengan risiko serta tanggungjawab mereka.

“Saya berharap kerajaan semak dan menilai semula skim gaji mereka dan menyelesaikannya dalam tahun ini,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina dan pertemuan pertamanya bersama Exco Kanan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) di sini, semalam.

Selain itu, Omar turut mengingatkan orang ramai bahawa Koperasi CUEPACS Berhad adalah satu badan yang berbeza dengan CUEPACS dan mereka tiada hak menyentuh isu berkaitan kongres itu.

Ini berikutan aduan diterima CUEPACS berhubung koperasi itu.
“Saya ada menerima beberapa aduan orang ramai dan saya ingatkan kepada semua, koperasi itu di bawah satu badan lain dan tiada kena mengena dengan CUEPACS,” katanya