Tuesday, April 3, 2012

KOPERASI PENJAWAT AWAM 1 MALAYSIA BERHAD MAMPU LONJAK SUMBANGAN KOPERASI KDNK

Bernama
3/4/2012

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Penubuhan Koperasi Penjawat Awam 1Malaysia Berhad dijangka mampu melonjakkan secara drastik sasaran sumbangan koperasi seluruh negara sebanyak 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2020.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pada masa ini, sumbangan sektor koperasi hanya satu peratus kepada KDNK namun beliau positif sasaran menjelang 2020 itu dapat dicapai.

"Yang pertama,�dari segi keahlian itu bertambah dan yang kedua dari segi modal saya percaya koperasi ini boleh mengumpulkan modal yang besar, kalau seorang ahli RM10 minimum, dah dapat RM14 juta (Ambil kira jumlah 1.4 juta penjawat awam) kalau RM100 (RM140 juta).

"Dengan jumlah ini, mereka boleh jalankan pelbagai aktiviti perniagaan yang tentu boleh menyumbang kepada pendapatan sektor koperasi secara keseluruhannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesedaran Berkoperasi di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Cuepacs�yang juga Pengerusi Koperasi Penjawat Awam 1Malaysia Datuk Omar Osman.

Pada majlis itu, Ismail turut�menyempurnakan penyampaian geran bantuan pembangunan sebanyak RM100,000 daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kepada koperasi itu.

Penubuhan koperasi itu disuarakan Omar�ketika berucap pada Perhimpunan Khas Penjawat Awam Bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac lepas.

Ismail berkata dalam menjayakan sasaran sumbangan KDNK koperasi yang masih dianggap mustahil itu, koperasi seluruh negara perlu melabur dalam pelbagai bidang perniagaan dan tidak hanya tertumpu kepada sektor kredit.�

Sementara itu, Omar menjangkakan koperasi yang baru didaftarkan pada 5 Mac lepas itu dapat memberi impak yang signifikasi kepada pertumbuhan ekonomi negara dalam masa tiga tahun.

Beliau berharap penubuhan koperasi itu akan memberi faedah kepada kesemua penjawat awam dan mendapat kerjasama baik daripada mereka.

Buat masa ini, katanya pendaftaran keahlian dengan yuran minimum RM10 diuruskan di Wisma Cuepacs dan medium pendaftaran akan diperluaskan dari semasa ke semasa.

"Kita sasarkan 50,000 ke 100,000 ahli dalam tahun pertama. Kumpulan pengurusan tertinggi mungkin kita tak ada masalah tapi kita nak terapkan kepada kumpulan pelaksana,�kumpulan bawahan dan pendapatan sederhana untuk sertai koperasi ini," katanya.

No comments:

Post a Comment