Wednesday, April 6, 2011

Penolong Pengarah Kastam disiasat mati jatuh bangunan SPRM


Jenazah Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed dibawa keluar dari pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Cochrane, hari ini.
KUALA LUMPUR, 6 April — Seorang penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) – sebahagian daripada 62 orang menjadi radar Operasi 3B sejak minggu lalu – mati dipercayai selepas jatuh dari bangunan agensi itu di Jalan Cochrane di sini, pagi ini.
Insiden terbaru ini, yang sekali lagi mengejut dan menggemparkan negara, berlaku ketika Suruhanjaya Diraja sedang mengadakan siasatan berhubung kematian bekas pegawai DAP Teoh Beng Hock, yang ditemui mati selepas disiasat SPRM di Shah Alam, dua tahun lalu.
SPRM memulakan Operasi 3B minggu lalu dan telah menahan 62 pegawai kastam di seluruh negara.
Sebahagian besar daripada telah dibebaskan sementara menanti siasatan susulan.
Pada satu sidang media di sini tengah hari tadi, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali berkata mangsa – Ahmad Sarbani Mohamed, 56, iaitu penolong pengarah Kastam Selangor ditemui mati di gelanggang badminton kira-kira 10 pagi tadi.
Ahmad Sarbani telah dibebaskan oleh SPRM selepas diikat jamin Sabtu lalu.
Mustafar berkata mayat pegawai itu ditemui di aras bawah, selepas didapati tidak kelihatan di bilik dia diminta menunggu pada pukul 10.15 pagi.
Kata beliau, Ahmad Sarbani datang ke bangunan SPRM kira-kira 8.26 pagi tanpa sebarang temu janji dengan pegawai siasatan.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada sidang media itu, SPRM berkata, “antara pukul 10.15 pagi hingga 10.20 pagi satu kejadian telah berlaku di bangunan SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Cochrane, Kuala Lumpur di mana seorang individu telah ditemui meninggal dunia.”
“Individu yang ditemui meninggal dunia ini dikenal pasti sebagai Ahmad Sarbani Mohamed, berumur 56 tahun, seorang Penolong Pengarah Kastam,” kata kenyataan itu.
SPRM mengesahkan bahawa Ahmad Sarbani adalah antara pegawai kastam yang telah ditahan pada 1 April lalu di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, Klang.
“Penama tersebut setelah membantu dalam siasatan yang melibatkan Operasi 3B iaitu satu siasatan berkaitan kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, telah dilepaskan melalui jaminan pada 2 April, pukul 12.30 tengah hari.
“Penama tersebut telah pun meninggalkan pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selepas dilepaskan melalui jaminan tersebut,” kata kenyataan itu lagi.
Katanya, Ahmad Sarbani telah datang ke Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur seorang diri dengan menunggang motosikal dan meminta untuk berjumpa dengan pegawai penyiasat bagi berbincang mengenai kes terhadapnya.
“Oleh kerana pegawai-pegawai sedang bermesyuarat, maka penama berkenaan telah menunggu di lobi pejabat sehingga pukul 9.30 pagi.
“Penama tersebut kemudian telah diiringi oleh seorang pegawai ke bilik pejabatnya untuk mendapatkan pegawai penyiasat menemui penama tersebut. Pegawai yang mengiringi penama tersebut telah berada bersamanya dalam bilik pejabat pegawai berkenaan,” katanya lagi.
Kenyataan itu menambah, lebih kurang 10.15 pagi, pegawai yang mengiringi beliau telah meninggalkan penama tersebut di pejabatnya dan keluar sebentar pergi mendapatkan pegawai penyiasat.
“Dalam beberapa minit kemudian, pegawai tersebut telah kembali ke pejabatnya dan mendapati penama berkenaan tiada dalam bilik berkaitan,” tambah kenyataan tersebut.
“Setelah mencari dalam kawasan pejabat, seorang pegawai telah terlihat satu tubuh manusia terlantar di tingkat satu bangunan pejabat ini.
“SPRM telah pun memaklumkan kejadian ini kepada keluarga si mati dan pihak pengurusan jabatannya serta menyerahkan perkara ini kepada pihak polis untuk mengambil sebarang tindakan,” kata kenyataan itu lagi.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah mengesahkan kes itu sebagai kematian mengejut dan siasatan awal menunjukkan kecederaan di bahagian kepala.

No comments:

Post a Comment