Thursday, April 7, 2011

PM: Kes Ahmad Sarbani berbeza dengan Teoh

Kes seorang pegawai kastam yang ditemui mati di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur semalam adalah berbeza dengan kes Teoh Beng Hock, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

NONEKatanya, kes itu berbeza kerana Allahyarham Ahmad Sarbani tidak dipanggil untuk membantu siasatan tetapi datang sendiri ke pejabat SPRM.

"Apa yang saya diberitahu, dia datang secara sukarela ke pejabat SPRM hanya nak tukar statement (kenyataan) yang telah diberikan kepada SPRM sebelum ini. Dia mohon nak tukar statement.

"Dalam masa SPRM memanggil IO (Pegawai Penyiasat) kes berkenaan, sekelip mata sahaja kejadian itu berlaku. Ini berbeza dengan kes Teoh Beng Hock," kata Perdana Menteri kepada pemberita di Kuching hari ini.

Sehubungan itu, Najib berkata beliau telah mengarahkan polis dan SPRM melakukan siasatan secara rapi, telus dan profesional. Beliau juga berharap siasatan secara terperinci dapat dijalankan
segera kerana kerajaan tidak akan cuba melindungi apa-apa perkara.

Katanya, ini perlu bagi mengenal pasti apa sebenarnya yang berlaku dalam kejadian yang melibatkan Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbani Mohamed, 56.

Semalam, Allahyarham Ahmad Sarbani ditemui mati di atas gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Jalan Cochrane setelah dilaporkan datang untuk bertemu pegawai penyiasat berhubung siasatan kes rasuah membabitkan Kastam Diraja Malaysia yang dibongkar baru-baru ini.

Teoh pula ditemui mati di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam, yang turut menempatkan pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan di bangunan itu.
Selamatkan wang negara

Ditanya apakah perlu untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes itu seperti dalam kes Teoh, Najib berkata biarlah polis menyiasat perkara itu terlebih dahulu.

azlanBeliau berkata tindakan SPRM melakukan siasatan adalah bagi menyelamatkan wang negara kerana ia adalah sesuatu yang serius.

"Kerajaan nak bersihkan Kastam dan jimatkan wang rakyat. Jika dapat berkas orang yang terlibat, yang untung adalah rakyat. Tidak sangka perkara seperti ini akan berlaku.

"Kita mesti ingat tujuan siasatan itu dilakukan untuk menjimatkan wang rakyat dan (penyelewengan) dah berlaku bertahun-tahun. Ia mesti dihentikan dan (pihak bertanggungjawab) diberkas sama sekali," katanya.

Perdana Menteri berkata mungkin ada sedikit gangguan dalam tugas SPRM berikutan kejadian seperti itu sudah dua kali berlaku tetapi ia perlu diteruskan demi kebaikan rakyat.

NONE"Tindakan ini boleh jimatkan banyak hasil negara. Bila hasil negara bertambah, boleh buat banyak program untuk rakyat," kata Najib.

No comments:

Post a Comment