Monday, March 26, 2012

2 anggota kastam cedera kenderaan dilanggar anggota sindiket

2012/03/26JOHOR BAHRU: Dua anggota penguatkuasa Kastam Diraja Malaysia cedera ringan apabila kenderaan jabatan yang mereka naiki dilanggar anggota sindiket penyeludupan Rabu lalu.

Pengarah Kastam Johor, Datuk Ramli Johari, berkata kejadian berlaku pada jam 8.45 malam apabila sepasukan penguatkuasa tersebut mengejar dan berjaya menahan sebuah lori Hino di Kilometer 24 Lebuhraya Pasir Gudang di sini.
"Kereta jabatan kita Toyota Fortuner mengalami kerosakan yang teruk di bahagian depan dan belakang kerana dilanggar oleh beberapa kereta yang dipercayai milik tonto yang mengiringi lori tersebut," katanya.
Bercakap kepada pemberita di sini, hari ini, Ramli berkata 15 kenderaan tonto termasuk sebuah MPV dipercayai terbabit dalam kejadian yang berlaku semasa lalu lintas sedang sesak.

Menurut beliau, pemandu lori tersebut menggunakan kesempatan daripada kesesakan lalu lintas itu untuk meninggalkan lorinya dan melarikan diri.

Pemeriksaan ke atas lori itu mendapati ia membawa rokok kretek jenama Sari Toga, rokok putih jenama Capital serta bir jenama Tiger dan Malaki yang ditaksirkan bernilai RM223,528 dengan cukai bernilai lebih RM1.91 juta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana secara sedar terbabit dalam mengangkut barang larangan import dengan niat bagi mengelak larangan itu.
Larangan itu termaktub di bawah butiran 1 (rokok) dan butiran 6 (bir), Bahagian II Perintah Kastam 2008 di mana pengimportan barangan itu memerlukan lesen di bawah Peraturan 18, Peraturan Kastam 1977.

Kesalahan mengikut seksyen itu membawa hukuman denda maksimum sehingga 20 kali nilai atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Ramli berkata, berikutan kejadian langgar itu pihaknya menimbang untuk menambah jumlah anggota penguatkuasa dan kenderaan semasa melakukan operasi bagi menjamin keselamatan anggota. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment